Hikayat adalah hasil kesusasteraan Melayu lama. Pada umumnya, hikayat dicipta tanpa diketahui nama pengarang dan tarikh dikarang. Hikayat mengandungi ciri-ciri kesaktian, keberanian dan kegagahan wira yang luar biasa. Pengarang juga melukiskan kejelitaan puteri raja, kegagahan hulubalang, bala tentera yang tidak terkira banyaknya, serta binatang dan benda-benda yang berunsur magis. Di dalam hikayat selalunya terdapat pertandingan yang menguji kepahlawanan wira yang sering kali dikurniakan dengan kesaktian. Wira akhirnya menjadi juara mengalahkan lawannya yang terdiri daripada anak-anak raja dan mengahwini puteri raja yang menjadi rebutan.
|
MSS 1714 Hikayat Bayan Budiman Disalin pada 17 Syawal 1336H. [26 Julai 1918M.] Hikayat ini merupakan satu hikayat yang popular yang juga dikenali denganHikayat Khoja Maimun. Ia mengisahkan kebijaksanaan seekor burung bayan yang telah menyampaikan berbagai cerita dengan tujuan menghindar Bibi Zainab, isteri Khoja Maimun, daripada berlaku curang semasa ketiadaan suaminya. | |
MSS 1063 (A) Hikayat Inderaputera Disalin oleh Kapitan Salimuddin pada 19 Oktober 1866 di Kampung Kertel, Sri Lanka. Mengisahkan pengembaraan Inderaputera untuk mendapatkan ubat bagi mengubati Puteri Mengindera Sari Bulan yang dihadapinya dengan pelbagai rintangan dan kesaktian. | |
MSS 437 Hikayat Nabi mikraj Disalin pada hari Jumaat, 1310H. [1892M.] Menceritakan peristiwa Nabi dibawa ke langit mengadap Allah. | |
MSS 427 Hikayat Amir Hamzah Menceritakan kegagahan dan keberanian Amir Hamzah. | |
MSS 2718 Hikayat Isma Dewa Disalin pada waktu zuhur, 17 Safar oleh Abdul Samad Jawi Kelantan. Menceritakan kegagahan dan kesaktian Isma Dewa yang berjaya mengalahkan kaum jin, naga, raksaksa, binatang dan lain-lain rintangan. | |
MSS 426 Hikayat Marakarma Mengisahkan pengembaraan Marakarma yang mengalami peristiwa-peristiwa sedih dan menghadapi berbagai peperangan. | |
MSS 438 Hikayat Indera Quraisyin Dikarang oleh seorang pengarang yang tidak diketahui namanya yang berasal dari masyarakat Melayu Sri Lanka. Mengisahkan pengembaraan Indera Quraisyin untuk mencari Tuan Puteri Zamzam Ratna Angkasa. Pelbagai halangan dan ujian terpaksa ditempuhinya, namun kerana kebijaksanaan dan kegagahannya semuanya dapat diatasi. | |
MSS 435 Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah Mengisahkan tentang susur galur keturunan Nabi Muhammad s.a.w, peristiwa yang berlaku sebelum kelahiran Baginda, sejarah hidup, perjuangan dan mukjizat Baginda dalam menyampaikan agama Islam kepada umat manusia. | |
MSS 2341 Hikayat Nabi Sulaiman Tamat disalin pada hari Ahad, bulan Syaaban Mengisahkan tentang Nabi Sulaiman a.s yang dilantik menjadi raja di Baitul Muqaddis. Baginda mempunyai sebentuk cincin kekuasaan kerajaannya yang membolehkan Baginda melakukan pelbagai perkara yang luar biasa. Cincin itu kemudiannya dicuri oleh jin setelah memperdayakan Balqis isteri beliau. Di akhir cerita cincin itu ditemui kembali. | |
MSS 422 Hikayat Ahmad Muhammad Disalin oleh Samsuddin ibn al-Taif pada hari Khamis 13 Zulhijjah bersamaan 18 April 1867M. di Lapiti, [Sri Lanka]. Mengisahkan tentang dua orang putera raja negeri Syam iaitu Ahmad dan Muhammad. Mereka telah mengembara untuk menyelamatkan diri dari dibunuh oleh seorang nakhoda. Semasa pengembaraan mereka telah menghadapi pelbagai rintangan dan pada satu ketika mereka telah berpisah, tetapi akhirnya bertemu semula. |