Thursday, March 24, 2011

CERITERA HIKAYAT

Terpanggil kerana keseronokan terolah jua akhirnya filem HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA... dari PNM meminjam...


Hikayat adalah hasil kesusasteraan Melayu lama. Pada umumnya, hikayat dicipta tanpa diketahui nama pengarang dan tarikh dikarang. Hikayat mengandungi ciri-ciri kesaktian, keberanian dan kegagahan wira yang luar biasa. Pengarang juga melukiskan kejelitaan puteri raja, kegagahan hulubalang, bala tentera yang tidak terkira banyaknya, serta binatang dan benda-benda yang berunsur magis. Di dalam hikayat selalunya terdapat pertandingan yang menguji kepahlawanan wira yang sering kali dikurniakan dengan kesaktian. Wira akhirnya menjadi juara mengalahkan lawannya yang terdiri daripada anak-anak raja dan mengahwini puteri raja yang menjadi rebutan.

MSS 1714
Hikayat Bayan Budiman

Disalin pada 17 Syawal 1336H. [26 Julai 1918M.] Hikayat ini merupakan satu hikayat yang popular yang juga dikenali denganHikayat Khoja Maimun. Ia mengisahkan kebijaksanaan seekor burung bayan yang telah menyampaikan berbagai cerita dengan tujuan menghindar Bibi Zainab, isteri Khoja Maimun, daripada berlaku curang semasa ketiadaan suaminya.

MSS 1063 (A)
Hikayat Inderaputera

Disalin oleh Kapitan Salimuddin pada 19 Oktober 1866 di Kampung Kertel, Sri Lanka. Mengisahkan pengembaraan Inderaputera untuk mendapatkan ubat bagi mengubati Puteri Mengindera Sari Bulan yang dihadapinya dengan pelbagai rintangan dan kesaktian.

MSS 437
Hikayat Nabi mikraj

Disalin pada hari Jumaat, 1310H. [1892M.] Menceritakan peristiwa Nabi dibawa ke langit mengadap Allah.

MSS 427
Hikayat Amir Hamzah

Menceritakan kegagahan dan keberanian Amir Hamzah.

MSS 2718
Hikayat Isma Dewa

Disalin pada waktu zuhur, 17 Safar oleh Abdul Samad Jawi Kelantan. Menceritakan kegagahan dan kesaktian Isma Dewa yang berjaya mengalahkan kaum jin, naga, raksaksa, binatang dan lain-lain rintangan.

MSS 426
Hikayat Marakarma

Mengisahkan pengembaraan Marakarma yang mengalami peristiwa-peristiwa sedih dan menghadapi berbagai peperangan.

MSS 438
Hikayat Indera Quraisyin

Dikarang oleh seorang pengarang yang tidak diketahui namanya yang berasal dari masyarakat Melayu Sri Lanka. Mengisahkan pengembaraan Indera Quraisyin untuk mencari Tuan Puteri Zamzam Ratna Angkasa. Pelbagai halangan dan ujian terpaksa ditempuhinya, namun kerana kebijaksanaan dan kegagahannya semuanya dapat diatasi.

MSS 435
Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah
 
Mengisahkan tentang susur galur keturunan Nabi Muhammad s.a.w, peristiwa yang berlaku sebelum kelahiran Baginda, sejarah hidup, perjuangan dan mukjizat Baginda dalam menyampaikan agama Islam kepada umat manusia.

MSS 2341
Hikayat Nabi Sulaiman

Tamat disalin pada hari Ahad, bulan Syaaban
Mengisahkan tentang Nabi Sulaiman a.s yang dilantik menjadi raja di Baitul Muqaddis. Baginda mempunyai sebentuk cincin kekuasaan kerajaannya yang membolehkan Baginda melakukan pelbagai perkara yang luar biasa. Cincin itu kemudiannya dicuri oleh jin setelah memperdayakan Balqis isteri beliau. Di akhir cerita cincin itu ditemui kembali.

MSS 422
Hikayat Ahmad Muhammad

Disalin oleh Samsuddin ibn al-Taif pada hari Khamis 13 Zulhijjah bersamaan 18 April 1867M. di Lapiti, [Sri Lanka]. Mengisahkan tentang dua orang putera raja negeri Syam iaitu Ahmad dan Muhammad. Mereka telah mengembara untuk menyelamatkan diri dari dibunuh oleh seorang nakhoda. Semasa pengembaraan mereka telah menghadapi pelbagai rintangan dan pada satu ketika mereka telah berpisah, tetapi akhirnya bertemu semula.